Bekerja setiap hari membuatkan wanita dihimpit kesibukan hingga tidak punya waktu untuk fokus kepada kebersihan rumah. Adakalanya kita terpaksa mengetepikan soal mencantikkan rumah setiap hari. Jujurnya, waktu hujung minggu adalah waktu untuk kita membersih, mencantik dan mewangikan rumah daripada sebarang habuk dan kotoran.
Itu sahajalah waktu terbaik yang kita ada untuk memberi lebih ruang dalam mencantikkan rumah. Selebihnya banyak masa ibu-ibu dihabiskan untuk menjaga anak dan suami. Namun dalam kesibukan itu ada petua mudah untuk anda praktikkan bagi memastikan rumah terjaga cantik malah sentiasa wangi. Ikuti empat langkah ini.
1.Habuk Tak Melekat Pada Perabot
Pening perabot dan rumah cepat berhabuk walaupun dilap berkali-kali. Ini petuanya.
Bahan-Bahan:
1 penutup pelembut fabrik
10 cawan air
Caranya mudah sahaja. Bancuh kedua bahan ini hingga sebati kemudian lapkan pada semua perabot kesayangan anda. Cara ini buat perabot tidak mudah lekat habuk malah rumah juga berbau lebih harum.
2.Kilatkan Lantai Rumah
Lantai melekit memang buat rasa tak selesa lebih-lebih lagi apabila selepas proses memasak selesai. Jangan buang masa sebaliknya cuba cara ini sekarang.
Bahan-Bahan:
1 penutup pencuci lantai
Cuka
Air panas
Mulakan dengan menyapu sampah terlebih dahulu hingga sampah dan habuk dibersihkan. Satukan kesemua bahan di atas dan mulakan mengemop pada lantai. Hasilnya lantai lebih licin dan berkilat seperti baru menukar jubin. Kena cuba!
3.Wangikan Rumah
Selain menggunakan penyegar udara bagi membolehkan udara keluar masuk, cubalah gunakan petua ini untuk pastikan rumah anda lebih wangi dan selesa berada di dalamnya.
Bahan-Bahan:
1 penutup pelembut fabrik
Cuka
Senang sahaja iaitu dengan mencampurkan kedua bahan ini dan semburkan pada seluruh rumah anda. Gabungan dua bahan ini memberi bau dan memperbaiki udara yang lebih bersih. Pastikan langsir dan kesemua perabot berfabrik disembur dengan padu. Baunya tahan lebih lama. Paling penting wangi!
4.Segarkan Bilik Air
Bahan-Bahan:
1 sudu kecil teh soda bikarbonat
1 sudu teh cuka
1 cawan air
Satukan kesemua bahan ini dan masukkan ke dalam penyembur. Semburkan ke seluruh bilik air setiap hari. Hasilnya bilik air rasa lebih segar dan harum.