Akibat Ibu Doakan Anak Benda Tak Elok
“Saya tak tau apa yang tak kena Kak Su… tapi saya memang terkejut dan sedih sangat bila Mak saya cakap kat saya, jangan seronok sangat ada suami yang baik. Nanti suami buat perangai, tinggalkan saya baru saya sedar diri. Sedangkan suami saya layan saya, layan Mak saya dan adik-adik baik saja sejak kahwin lima tahun dulu sampai la sekarang ni…”
Ya benar, banyak kes ibu yang suka doa sudut negatif pada anak sendiri. Mungkin kerana cemburu dan sakit hati lantaran si anak bahagia bersuami sedang si ibu ditinggalkan suami sejak anak-anak masih kecil tapi menurut si anak, ayahnya bertanggungjawab memberikan nafkah kepada dirinya dan adik-adik.
Persoalannya, bila berdepan keadaan sebegini, apa yang boleh si anak lakukan?
Saya akui dan yakin semua maklum betapa seorang ibu wajib dihormati, tidak boleh disakiti malah tidak boleh dikecilkan hatinya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan kewajipan tersebut antaranya dalam surah Lukman ayat 14 bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Jelas diakui kehebatan seorang ibu yang wajib dihormati dan menjadi kesalahan besar jika hatinya disakiti. Namun, kedudukan dan darjat tersebut bukan sebagai satu kuasa sebaliknya merupakan satu amanah dan juga tanggungjawab. Tanggungjawab untuk mengasuh si anak sejak kecil, kemudian bersama suami pula untuk mendidik dan membimbing si anak menjadi insan berguna untuk diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan agama. Termasuklah juga tanggungjawab untuk memastikan si anak sentiasa kekal dalam redha Allah Taala dengan mendahulukan redha anda sebagai ibunya kepada si anak.
Malangnya, ada ibu yang menyisihkan si anak kerana cinta baru tatkala ayah si anak membuat onar. Dek kerana mengikut perasaan, si anak tidak dipedulikan, dibiarkan menguruskan diri sendiri, tanpa perhatian, tanpa belaian sedangkan tika itu si anak amat memerlukan perhatian si ibu kerana si ayah telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Ada kes pula, si ibu menjadikan si anak sebagai tempat melepas kemarahannya buat suami. Ibu apakah yang sanggup berkelakuan sebegini? Sedangkan ibu binatang pun sayangkan anaknya sendiri.
Martabat
Ada soalan: “Kenapa saya saja kena ingat tanggungjawab saya tapi dia boleh buat tak tau?”
Jawapan mudah dan ringkas: “Kerana anda adalah ibu dan anda bukan ayah.” Ibu diberikan martabat yang tinggi berbanding ayah. Dalam satu hadis, ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai individu yang perlu dihormati, Rasulullah s.a.w mengulangi tiga kali menyebut ibu kemudian di tempat keempat, barulah disebut ayah.
Mengikut hukum syarak dan undang-undang juga, si ibu lebih berhak ke atas hak jagaan si anak jika ditakdirkan berlaku perceraian di dalam perkahwinan. Dua fakta ini menjadi bukti dan tanda, anak lebih memerlukan ibunya berbanding si ayah.
Ada luahan ibu; anak tak guna; anak kurang ajar; anak tak kenang budi; malah ada ibu yang sanggup mendoakan malapetaka untuk si anak; matilah kau; aku tak redha hidup kau kat dunia; celakalah hidup kau dan macam-macam lagi.
Kenapa perlu bertindak sedemikian? Sebagai ibu; anda sepatutnya mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Biar anak-anak tidak mendengar kata atau melawan cakap; jangan mengherdik atau mencaci maki mereka. Jangan paksa anak-anak hormati anda sebaliknya tunjukkan kepada anak-anak keperibadian anda yang selayaknya sebagai ibu yang wajar dihormati.
Berusaha untuk memaafkan setiap kesilapan anak anda biarpun si anak belum memohon maaf. Ada tikanya; si anak tidak berniat untuk menyakiti malah tidak sedar; telah menyakiti hati anda. Kasihanilah dan sayangilah anak anda!
Kesilapan anda menurut kata hati yang kecewa boleh memusnahkan hidup anak anda, bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat nanti. Gunakanlah kuasa yang Allah anugerahkan kepada anda untuk membahagiakan anak anda, insya-Allah mampu membahagiakan anda juga; andai anda berdoa memohon kepadaNya!!