Dari Lahir ke 6 bulan
Perkembangan Fizikal – Sewaktu kelahiran, bayi tidak boleh mengawal pergerakan anggota mereka. Kebanyakan pergerakan mereka adalah tindakbalas refleks. Pada masa ini sistem saraf masih belum matang sepenuhnya.
Perkembangan Bayi
Pada beberapa bulan yang pertama, bayi boleh melihat dengan jelas objek pada jarak 25 cm dari wajah mereka. Penglihatannya lebih sempurna pada umur 6 minggu. Pada umur 4 bulan, kebanyakan bayi mempunyai sedikit kawalan ke atas otot-otot dan saraf mereka. Mereka mula boleh duduk dengan sokongan, mengangkat kepala untuk waktu yang singkat dan mula boleh berpusing untuk meniarap di atas perut. Pada umur 5 bulan, kebanyakan bayi sudah boleh bergolek.
Perkembangan Sosio-Emosi – Bayi mula menanam kepercayaan kepada ibubapa yang memenuhi keperluan mereka seperti menukar lampin basah ketika diperlukan, memberi susu ketika lapar, dan mendukung ketika menangis. Ketika ketakutan, bayi menangis dan kelihatan terkejut dan takut. Mereka juga menangis kerana marah, sakit atau lapar. Menangis adalah cara mereka berkomunikasi. Bayi amat mudah berubah antara suka dan sedih. Mereka perlu dimanja dan dibelai. Bayi akan tersenyum pada suara atau bunyi yang sedap didengar atau ketika kenyang. Ketika berumur 6 minggu, mereka akan senyum untuk membalas agahan orang lain. Ketika 4 bulan, mereka akan tersenyum dengan lebar, tertawa jika suka dan belajar mengenal wajah dan suara ibu dan bapa.
Perkembangan Kepintaran – Bayi mengeluarkan bunyi yang tidak kita fahami. Jika kita perhatikan betul-betul, mereka mengkaji tangan dan kaki mereka sendiri. Mereka berpaling untuk mencari punca suara atau bunyi. Bayi juga boleh memfokus dan mengikuti objek bergerak dengan pandangan mata mereka. Mereka mengkaji sesuatu juga dengan menggunakan mulut mereka. Mereka meletakkan semua barangan yang boleh dipegang ke dalam mulut. Bayi menangis dengan nada yang berlainan untuk menyatakan perasaan lapar, marah dan sakit. Mereka selalunya tidak mempedulikan objek yang tidak dapat mereka lihat.
Perkembangan Bayi – Dari 6 Bulan ke Setahun
Perkembangan Fizikal – Bayi pada umur ini masih tidur sejenak pada pagi dan petang. Mereka mula makan dan tidur pada masa-masa yang tetap setiap hari. Mereka makan 3 kali sehari dan minum susu dari botol atau ibu pada masa yang berbagai.
Mereka juga boleh bermula menggunakan cawan dan sudu untuk makan sendiri. Bayi boleh duduk sendiri. Mereka menyulur dan merangkak dalam waktu ini. Pada bulan ke-8 mereka bolah mencapai dan memegang barangan. Mereka boleh mengutip objek dengan ibu jari dan jari telunjuk, kemudian melepaskan objek tersebut. Mereka mula membaling barangan. Mereka mula berdiri dengan berhati-hati, berdiri dengan memegang perabut atau dinding dan boleh berjalan jika tangan dipegang. Bila mencecah 12 bulan, kebanyakan bayi mempunyai berat 3 kali ganda berat berbanding kelahiran. Ketinggian mereka juga bertambah seinci sebulan. Pada kebiasaan, ketinggian bayi ketika setahun adalah 66-76 cm tinggi.
Perkembangan Sosio-emosi – Bayi anda akan memberi reaksi bila namanya dipanggil. Ia mula takutkan orang asing dan takutkan ditinggal oleh ibu dan bapanya. Bayi merasa marah dan kecewa bila kehendaknya tidak dipenuhi dengan segera. Ia bercakap dengan diri sendiri di dalam cermin. Bayi mula belajar apa yang diizinkan dan yang tidak. Hubungan mata mula menggantikan hubungan dengan sentuhan yang mereka perlukan sebelum ini.
Perkembangan Kepintaran – Bayi melambai “bye-bye” dan bermain seperti menepuk kek. Mereka memberi reaksi kepada arahan mudah. Mereka mula berupaya mencari objek yang tidak kelihatan, tidak seperti sebelumnya. Mereka mula bersuara mudah seperti “ba…ba” dan “ma…ma”. Bayi mula membayangkan aktiviti-aktiviti yang biasa dengan cubamelakonkan watak-watak tertentu dengan caranya sendiri. Mereka membuat bunyi-bunyian yang hanya orang yang amat rapat dengan mereka tahu maksudnya. Mereka mengulangi perbuatan yang menghasilkan reaksi. Contohnya jika diberi mainan yang berbunyi bila digoncang, mereka akan tahu apa yang hendak dibuat setiap kali diberi mainan tersebut. Mencecah 12 bulan bayi selalunya mula menutur perkataan pertama yang boleh difahami.
Jika anda ada bayi yang kurang dari setahun, mulalah perhatikan mereka dengan teliti. Anda mungkin terkejut dengan kesungguhan mereka menguasai perkara-perkara asas di dalam hidup. Ikuti sambungan “Dari Setahun hingga 2 Tahun”.