20 Tip Masuk Ke Raudhah Buat Jemaah Wanita

20 Tip Masuk Ke Raudhah Buat Jemaah Wanita-Movie Islami

Posted on 

Menziarahi Rasulullah di bumi Madinah, adalah salah satu impian yang ada pada setiap orang Islam. Sementelah dalam beberapa hadith, Nabi pernah mengatakan bahawa sesiapa yang menziarahi baginda selepas kewafatan baginda, maka mereka seolah-olah telah menziarahi Nabi semasa hayat baginda.

Nabi juga bersabda bahawa orang yang menziarahi baginda, berpotensi dan mungkin mendapat syafaat baginda kelak.

Rasulullah dimakamkan di Madinah, di dalam bilik yang pernah menjadi rumah Saidatina Aishah. Bilik ini sebenarnya adalah rumah Rasulullah, dengan ukuran anggarannya 7 meter darab 8 meter.

Bilik Saidatina Aisyah ini diduduki oleh beliau selepas kewafatan Nabi sehinggalah beliau sendiri meninggal dunia dan dikuburkan di Baqi’.

Raudhah mempunyai ukuran sekitar 22 meter panjang dan 15 meter lebar. Pada hari kiamat nanti, Allah akan menjadikan di bawah mimbar Nabi, mengalirnya kolam al-Kauthar, tempat Nabi memberikan air kepada umat Islam. Sesiapa yang meminum air ini, tidak akan dahaga lagi selama-lamanya.

Bagi Jemaah wanita, ada cara dan teknik tersendiri untuk memasuki Raudhah. Jom kita baca tip-tip masuk ke Raudhah khusus untuk Jemaah wanita.

#1- Mengetahui Jadual Kumpulan Umrah
Jadual kumpulan umrah biasanya pada hari pertama adalah program Ziarah Dalam. Iaitu melawat di sekitar kawasan Masjid Nabi, antaranya memasuki Raudhah, melawat Makam Rasul, makam para sahabat dan permakaman Baqi’.

#2- Dibawa Oleh Pembimbing Wanita Khas
Bagi agensi umrah yang besar, mereka menyediakan pembimbing khas wanita untuk masuk ke Raudhah. Pembimbing ini akan bersama Jemaah wanita masuk ke Raudhah.

#3- Pintu 25
Pintu bagi Jemaah wanita masuk ke Raudhah adalah melalui pintu 25. Tiada pintu lain yang disediakan.

#4- Mengetahui Waktu Yang Ditetapkan
Pada masa dahulu, Jemaah wanita agak sukar memasuki Raudhah dan hanya 1 atau dua waktu sahaja diperuntukkan untuk memasuki Raudhah. Raudhah dimonopoli oleh Jemaah lelaki suatu ketika dahulu.

Kini tidak lagi kerana pihak pengurusan masjid sudah membuat jadual waktu yang lebih baik dan sistem giliran kepada Jemaah supaya semua Jemaah yang beratur akan dapat masuk ke dalam Raudhah.

#5- Tidak Masuk Ke Kumpulan Arab
Elakkan memakai pakaian Arab dan masuk ke dalam kumpulan Arab sebab ada bahayanya apabila kita berhimpit-himpit dengan orang Arab.

Sebahagian orang berpandangan bahawa polis wanita atau penjaga pintu masuk ke Raudhah mendiskriminasi Jemaah dari Asia atau Malaysia.

Namun, sebenarnya tiada diskriminasi dilakukan. Bagi kumpulan agensi umrah yang besar dari Malaysia, mereka sengaja tidak mahu masuk lebih awal supaya tidak berhimpit-himpit dan supaya masa di dalam Raudhah lebih lama dan Jemaah lebih relaks.

#6- Mengikut Aturan Yang Ditetapkan
Masuklah ke dalam grup orang Melayu ataupun orang Indonesia kerana lebih mudah diuruskan dan lebih teratur berbanding Jemaah negara lain yang suka berebut-rebut.

#7- Berakhlak Mulia
Jangan berlari-lari atau berebut-rebut di dalam masjid. Berakhlaklah dengan pakaian akhlak Nabi.

#8- Elakkan Pergi Bersendirian
Elakkan pergi bersendirian ke sana, pergilah bersama kawan-kawan. Kerana jika ada kemungkinan sesat atau jatuh sakit semasa di dalam Raudhah, ada sahabat yang akan membantu dan mengkhabarkan berita kepada agensi umrah.

#9- Menjaga Tutur Kata
Jaga mulut daripada berkata-kata yang bukan-bukan. Bumi ini bumi berkat. Jangan banyak mengeluh dan bersembang kosong.

#10- Peka Dengan Arahan
Ikuti arahan dan situasi semasa di dalam Raudhah. Kadang-kadang ada arahan mengejut daripada petugas. Apabila arahan mengejut untuk masuk diberikan, Jemaah perlu bersedia untuk masuk segera. Jika kita masuk terlalu lambat, pintu akan ditutup.

#11- Pemeriksaan Keselamatan
Pegawai polis akan memeriksa beg yang kita bawa. Jangan melawan atau mengelak daripada pemeriksaan polis. Ikuti sahaja arahan mereka.

Pastikan tidak membawa senjata tajam atau makanan berlebih-lebihan seperti makanan dalam bekas. Melainkan untuk yang membawa anak, dibenarkan membawa jumlah makanan yang bersesuaian.

Ada 7 checkpoint sebelum masuk ke dalam Raudhah untuk wanita. Kadangkala ada masanya checkpoint dibenarkan lalu begitu sahaja, tanpa perlu pemeriksaan.

#12- Bawa Uncang/Plastik
Bawa uncang kasut atau plastik untuk membawa kasut. Pastikan kita membawa kasut masuk ke dalam kerana kita akan masuk melalui pintu lain dan keluar melalui pintu lain.

#13- Niat Iktikaf
Jangan lupa niat iktikaf di dalam masjid. Ratusan malaikat akan mendoakan keberadaan kita di sana sepanjang kita berada di dalam masjid.

Ada beberapa seksyen di mana Jemaah wanita boleh bersembahyang. Antaranya seksyen Jemaah wanita dengan kanak-kanak, dan orang tua. Dan seksyen satu lagi untuk wanita dewasa sahaja, dilarang untuk kanak-kanak duduk di situ.

Polis akan menyuruh kita duduk jika sudah mendapat tempat. Tapi, sebelum duduk, pastikan kita tidak lupa solat sunat tahiyatul masjid.

Jangan solat lama-lama di sini kerana kita perlu pastikan kita masuk ke dalam kawasan solat Jemaah lelaki dahulu.

#14- Bersedia Awal
Pastikan kita sudah melepasi pintu penghadang yang memisahkan tempat solat lelaki. Tempat ini akan dibuka dalam masa yang terhad, dan sekiranya mahu masuk, kena pastikan kita berada berhampiran kawasan itu, baru boleh masuk. Jika terlambat, kemungkinan kita tidak dapat masuk ke Raudhah.

#15- Membuat Persiapan Awal
Apabila sampai di kawasan sebelum Raudhah, bacalah buku panduan yang diberi. Baca doa yang mahu dibacakan seperti doa di dalam Raudhah.

Baca buku panduan sebelum ke dalam, kerana dikhuatiri tidak sempat membacanya semasa di dalam Raudhah. Cara menyampaikan salam:

“Ya Rasulullah, saya menyampaikan salam orang yang berkirim salam kepadamu dengan lafaz Assalamualaika ya Rasulallah warahmatullahi wabarakatuh.”

Janganlah sampaikan salam dan membaca nota pula di situ. Baca untuk semua orang sekali sahaja sudah cukup.

Pembimbing wanita biasanya tidak dibenarkan bercakap di dalam. Justeru, Jemaah perlu peka dengan isyarat tangan pembimbing.

#16- Checkpoint Akhir
Sampai checkpoint terakhir sebelum masuk Raudhah, pastikan kita mengetahui di mana sempadan Raudhah, khususnya yang pertama kali nak masuk ke Raudhah. Hadith Nabi menyebut;

“Di antara rumahku dan mimbarku ialah salah satu daripada taman syurga.”

Ingat, rumah Nabi berada di sebelah kiri, manakala mimbar sebelah kanan. Apa tanda lain yang kita boleh lihat? Terdapat sempadan karpet. Karpet berwarna merah adalah kawasan masjid biasa, manakala karpet berwarna hijau adalah kawasan Raudhah.

Juga terdapat ukiran di atas tiang dalam kawasan Raudhah yang menyebut nama-nama tiang. Tiang di dalam kawasan Raudhah juga berbeza corak dan bentuknya berbanding tiang dalam masjid yang lain.

#17- Lakukan Sebanyaknya Amalan
Apa nak buat di dalam Raudhah? Boleh solat sunat apa sahaja selain solat tahajud dan witir. Dan mintalah doa sebanyak-banyaknya. Apabila ada peluang solatlah sebanyak yang mungkin.

Jika mahu berdoa, berdoalah semasa di dalam solat. Jangan berdoa selepas sembahyang, kerana jika petugas nampak kita sudah selesai solat, kita akan disuruh keluar.

#18- Berhati-Hati
Jika membawa beg, letakkan di hadapan kita dan rapat dengan kita. Beg yang tidak dijaga baik akan mudah dicuri orang.

#19- Jemaah Yang Berkerusi Roda
Jemaah berkerusi roda perlu masuk bersama tukang tolak, jadi perlu membawa masuk kerusi roda masuk bersama dan solat perlu dilakukan di atas kerusi.

Jika disuruh keluar selepas solat, tidak perlu kata apa-apa, jangan pula kita menipu dengan mengatakan kita sudah solat. Pindah sahaja ke tempat lain.

#20- Setelah Selesai
Sebelum keluar, minta izin Nabi dan bacalah selawat Ibrahimiyah dan al-Fatihah. Jangan melambai ‘bye-bye’ kepada Nabi. Tidak perlu melambai kepada Rasulullah, kerana tidak disyariatkan.

Jangan lakukan perkara khurafat atau syirik yang Rasulullah tidak suka bahkan Allah murka. Misalnya mengusap-usap dinding, mencium makam dan hiasan yang ada di dalam masjid.

Peringatan

Waktu terbaik untuk masuk ke Raudhah adalah pada waktu malam, iaitu waktu selepas Isya’ kerana waktu lebih panjang atau awal pagi selepas Subuh.

Jika wanita uzur syarie, boleh masuk ke kawasan dataran untuk menziarahi Rasulullah, namun tidak boleh masuk ke dalam Raudhah dan kawasan masjid.

Jangan sampai ada terganggu kekhusyukan semasa berada di Raudhah, misalnya terfikirkan keluarga yang terpisah atau hilang, teringatkan benda lain yang mengganggu fikiran dan sebagainya.

Stroller hanya boleh dibawa sehingga luar masjid sahaja. Tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam.

Demikianlah sebahagian tips yang dapat dikongsikan kepada para pembaca sekalian.

Sumber: Tazkirah.net

Posted in Agama