Tip masak beras basmathi

Tip Masak Beras Basmathi Agar Lebih Peroi Dan Lembut. Beginner Patut Cuba Untuk Nampak Pro!
Oleh Marliana Shamsuddin – September 11, 201760

Pada hujung minggu ini tentu ada antara kita yang bercadang untuk mengadakan majlis-majlis tertentu. Pastinya juga sudah ditentukan seleksi juadah enak yang bakal disajikan kepada tetamu yang bertandang.

Menyentuh perihal juadah istimewa, selain nasi impit dan rendang yang menjadi antara menu spesial. Juadah Nasi Beriani yang dimasak menggunakan beras basmathi juga menjadi antara makanan kegemaran ramai. Selain rasanya yang enak, tekstur beras yang lebih panjang, lembut dan peroi menjadikan hidangan ini cukup istimewa.

Pun begitu, ketahui dahulu tip penting untuk memasak beras basmathi ini. Barulah hasil masakan anda nampak macam seorang profesional yang menyediakannya. Jom semak!

1. Cuci beras

Beras Basmathi perlu dicuci bersih. Namun semasa mencuci beras jangan diramas-ramas. Cukup sekadar dikaub balik dengan perlahan agar beras tidak patah.

2. Rendam dengan garam

Pastikan beras terendam sepenuhnya dan masukkan 1 camca besar garam dan rendam selama 30 minit. Kemudian tapis.

3. Sukatan air

Sukatan air perlu diambil berat, jika terlebih akan menyebabkan beras yang dimasak menjadi lembik dan jika terkurang sukatan air akan menjadikan beras yang dimasak mentah pula. Oleh itu, pastikan sukatan air adalah tepat.

4. Gunakan sudip

Jika ingin mengaub balik nasi yang dimasak pastikan hanya menggunakan sudip seperti garpu untuk memastikan nasi tidak patah dan kekal di dalam keadaan panjang.

5. Lakukan dengan perlahan

Pastikan juga proses mengaub balik dilakukan dengan perlahan dan berhati-hati. Lebih-lebih lagi jika air di dalam periuk telah kering. Jika dilakukan dengan terlalu kasar, beras akan mudah patah dan tidak cantik keadaannya.

INFO TAMBAHAN

Jika didapati nasi yang ditanak terasa keras atau sedikit mentah, renjiskan sedikit air panas dan tutup periuk dan masak seketika lagi.