SUP AYAM….SENANG NAK BUAT…

SUP AYAM….SENANG NAK BUAT…

Salam tengah hari, dah makan?…Mat belum lagi, rasa belum ada resa nak makan. Tekak ni kan memang nak makan sup ayam, yang ringan2 je. Tapi kan kalau ayam kampung lagi sedap, walaupun nampak keding jee, khasiat dia banyak, cuma kalau ayam kampung yang bebas2 ni, kalau nak sembelih, kena tangkap dan kurung 3 hari, kita kasi makan jagung, kira bagi dia menyucikan diri, yelah ayam kampung kan bebas, segala benda dia sapu, pantang nampak, dah nama pun ayam. Seingat mat lah berpuluh kali dah letak resipi sup ayam dalam ni, tapi mat masak tak de ikut satu yang tetap, ikut apa yang aku rasa ok masa tu, cuma kalau kek, biskut dan muffin, kita kena lah ikut secara beradap, kang kalau tak jadi….salah kan resipi, salah kan mat gebu…huh…aku merajuk kang…haha…

BAHAN-BAHANNYA 🙂
1 ekor ayam, anggaran 1.2 kg
3 – 4 biji kentang
1 kiub ayam “maggi (optional)
1/2 inci lengkuas, dititik
1 pokok daun sup, kerat 3
1 camca besar bawang goreng
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Hirisan daun sup/daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

BAHAN KISAR HALUS 🙂
2 camca besar ketumbar
3/4 camca teh jintan halus
3/4 camca teh jintan kasar
1 1/2 camca teh lada hitam biji
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

BAHAN TUMIS 🙂
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA 🙂
1.Ayam dipotong pada saiz sederhana, selalu untuk sup ayam dipotong kecil sedikit, cuci bersih, toskan. Kentang dikupas, belah 4 setiap biji (bergantung pada saiz kentang), cuci dan rendam. Ketepikan.

2.Panaskan sedikit minyak dalam periuk, masukkan bahan tumis dan goreng hingga harum, tambah lengkuas dan bahan kisar halus. Masak hingga pecah minyak. Masukkan ayam dan kentang (toskan dahulu), gaul rata dan biar ayam kecut.

3.Tuang air secukupnya (anggaran 2+ liter), masukkan daun sup yang dikerat 3 dan 1 camca besar bawang goreng. Tambah sedikit garam dan biar mendidih. Kemudian kecilkan api dan biar masak perlahan. Tambah kiub ayam, jika guna. Kacau rata.

4.Bila kentang empuk dan ayam masak, tambah garam secukup rasa. Boleh matikan api. Hidangkan dengan menabur hirisan daun sup/daun bawang dan bawang goreng. Boleh dimakan begitu sahaja atau dengan nasi, ketupat, mee hoon, mee kuning dan roti..ikut suka hati koo orang yeaa….